2.0 PENGGUNAAN KOMPUTER DALAM PELBAGAI BIDANG
Telah diketahui bahawa perkembangan penggunaan komputer semakin pesat sekarang. Dalam semua bidang telah menggunakan komputer bagi melancarkan urusan.
2.1 Penggunaan Komputer Dalam Bidang Perniagaan
Penggunaan komputer dipraktikkan secara semaksimumnya antaranya dalam bidang perniagaan. Malah perniagaan kecil juga menggunakan komputer memandangkan kini terdapat mikrokomputer yang murah harganya. Organisasi-organisasi perniagaan kini mempunyai jumlah fakta dan nombor yang banyak untuk diproses. Jadi, kebanyakan organisasi perniagaan telah mula menggunakan komputer,contohnya untuk mengira gaji, untuk mengesan barang-barang yang dijual dan yang masih dalam stok, untuk mengeluarkan dan menghantar atau menerima penyata perniagaan, surat, invois dan lain-lain.
Penggunaan komputer dan alat-alat pejabat yang lain yang membantu pengurus, kerani, dan pihak pengurusan disebut disebut pengautomatikan pejabat. Salah satu daripadanya ialah pemprosesan perkataan yang menggunakan kaedah menaip secara elektronik yang membolehkan kita menghasil dan mengubah surat, laporan, dokumen, dan lain-lain dalam beberapa saat berbanding kerja menaip secara manual. Banyak pejabat menghasilkan surat-surat piawai seperti pembayaran baki, jemputan dan sebagainya lagi. Selain itu organisasi perniagaan setempat menggunakan komputer untuk menyedia, menyimpan, dan menghantar utusan ke tempat tertentu. Pengurus organisasi itu juga boleh mengawasi kakitangannya bila-bila masa. Pengautomatikan pejabat juga membolehkan pihak pengurusan atasan berunding tanpa bertemu secara fizikal yang disebut teleperundingan. Antara kelebihan penggunaan komputer dalam bidang ini, ternyatalah ianya amat penting dalam sesebuah organisasi perniagaan.
2.2 Penggunaan Komputer Dalam Bank Dan Institusi Kewangan
Pemprosesan data yang melibatkan akaun-akaun simpanan, simpanan tetap, pinjaman, pelaburan, analisis keuntungan dan sebagainya adalah antara operasi organisasi-organisasi kewangan. Langkah-langkah yang digunakan adalah piawai dan berulangan. Maka dengan itulah, institusi kewangan merupakan pengguna yang pertama sedar akan kepentingan komputer untuk menjimatkan masa. Penggunaannya dalam institusi kewangan ini meliputi aktiviti pemindahan wang secara elektronik
Misalannya sebuah bank mempunyai terminal di setiap cawangannya di seluruh negara dan juga di pasaraya, stesen minyak, sekolah, kilang, rumah, hotel, dan sebagainya. Majikan akan memindahkan gaji ke dalam akaun pekerjanya dengan memasukkan nombor pengenalan pekerjanya seterusnya wang gaji dipindahkan ke dalam akaun pasaraya, hotel, atau stesen minyak apabila membuat sesuatu pembelian. Kemudahan pemindahan wang ini yang disebut pemindahan wang secara elektronik ini amat efektif penggunaannya juga kaedah yang selamat dan cepat untuk urusan kewangan. Dengan kemudahan yang dikenali sebagai ETC ini juga individu itu bolah mengeluar, memindah, dan memasukkan tunai atau cek ke dalam baki semasa pada bila-bila masa sahaja. Ternyatalah tujuan utama penggunaan komputer dalam institusi kewangan dapat membantu dalam menyusun segala urusan pelanggan serta menyediakan perkhidmatan yang lebih baik dan cekap, mengurangkan penipuan dalam urusan kewangan juga menghapus urusan yang melibatkan wang tunai dalam masyarakat dengan matlamat utama untuk menghasilkan sebuah masyarakat tanpa tunai.
2.3 Penggunaan Komputer Dalam Bidang Industri
Industri merupakan bidang yang banyak sekali menerima faedah daripada penggunaan komputer dan juga perkembangan mesin berupa manusia iaitu ‘robot’. Industri pengeluaran misalnya memerlukan komputer untuk memproses banyak data yang dikumpul dari pekerja, pelanggan, jualan, keterangan barangan, jadual pengeluaran, dan sebagainya. Boleh dikatakan komputer digunakan bagi mengawal proses pengeluaran. Pemprosesan maklumat pengeluaran khasnya kawalan inventori bagi menyimpan maklumat terbaru tentang baki inventori bahan-bahan mentah dan juga barangan siap digunakan untuk menentukan nilai inventori dan status stok. Hal ini komputer boleh mengingatkan kakitangan terlibat bila dia harus memesan bahan-bahan mentah dan bila untuk menghantar barangan siap kepada pelanggan. Begitu juga untuk menyimpan maklumat tentang struktur sesuatu barangan, perancangan keperluan bahan malah dalam kerja proses turut menggunakan komputer bagi memudahkan pekerjaan. Ternyatalah penggunaan komputer dalam bidang industri amat meluas serta turut mempengaruhi perkembangan industri di sesebuah negara.
2.4 Penggunaan Komputer Dalam Bidang Pendidikan
Kini dalam era dunia sains dan teknologi yang semakin canggih, komputer mungkin mengambil alih peranan buku dalam menyimpan dan menyebarkan pengetahuan kepada orang ramai. Dengan kata lain komputer akan mengubah cara kita belajar dan cara kita menyimpan pengetahuan. Hal-hal yang berkaitan contohnya pendaftaran pelajar, penjadualan kelas, pemprosesan keputusan peperiksaan, penyimpanan peribadi pelajar dan guru boleh dilaksanakan oleh komputer dengan berkesan dan cepat dalam membantu pihak pentadbiran. Kini keputusan SPM dan STPM turut diproses oleh komputer. Di IPT juga tugas-tugas pengautomatikan pejabat, pemprosesan keputusan peperiksaan dan penyelidikan saintifik turut menggunakan komputer. Malah mengkatalog buku-buku di perpustakaan juga mengaplikasikan penggunaan komputer. Tidak ketinggalan diguna untuk proses pengajaran dan pembelajaran bukan sahaja di institusi-institusi pengajian tinggi juga di sekolah-sekolah, baik untuk mengajar dengan bantuan komputer atau belajar pendidikan tentang komputer.Oleh itu komputer kini sangat dititikberatkan dalam bidang pendidikan untuk menbantu dalam proses pentadbiran, penyelidikan juga apa yang penting ialah memudahkan serta membantu pelajar dan guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
bidang hiburan tkd eh?
ReplyDelete